| 0 comments ]

Air merupakan keperluan yang amat penting untuk kehidupan manusia sejagat. Manusia masih boleh hidup tanpa minyak, tetapi manusia tidak akan dapat hidup andainya tidak ada air untuk diminum. Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) melaporkan sebanyak 1.1 bilion masyarakat dunia kini berhadapan dengan masalah mendapatkan bekalan air bersih. Isu ini merupakan sebahagian besar daripada krisis air global yang semakin meruncing dan mengancam kesihatan manusia.

Kini krisis air bukan sahaja melanda negara – negara miskin dan membangun malahan turut merebak dikalangan negara – negara maju. Krisis air global boleh difahami sebagai isu berkaitan sumber air mentah untuk kegunaan masyarakat serata dunia setiap hari. Krisis air global tidak sahaja dikaitkan dengan ketiadaan akses bekalan air bersih untuk kegunaan harian malah ia turut meliputi masalah berkaitan pencemaran sumber air, perubahan iklim dan isu sumber air yang mengakibatkan ketegangan antara negara. Kebimbangan mengenai krisis air global perlu ditangani secara baik bagi mengelak berlakunya malapetaka besar terhadap seluruh isi planet bumi ini.

Kebimbangan masyarakat dunia terhadap masalah air global bermula sejak bertambahnya populasi dunia dalam beberapa dekad yang lalu. Sejak bermulanya abad ke20 penduduk dunia telah meningkat sebanyak tiga kali ganda diikuti dengan pertambahan permintaan air untuk kegunaan domestik, pertanian dan perindustrian. Ini sekaligus telah mencetuskan polemik yang berterusan diseluruh dunia mengenai keperluan air.

Kebimbangan ini juga telah dizahirkan melalui pelbagai wacana dan forum antarabangsa. Antaranya ialah melalui World Water Forum yang dianjurkan oleh Majlis Air Sedunia (WWC). Forum ini telah berlangsung sebanyak 4 kali bermula pada tahun 1997 hingga tahun 2006 dan bakal dilaksanakan lagi pada mac 2009 di Instabul, Turki dengan tema “Bridging Divides for Water”. Forum ini diadakan bertujuan untuk menghimpunkan cendikiawan, golongan pengubal dasar dan aktivis alam sekitar bagi menentukan hala tuju pengurusan sumber air dunia. Beberapa majalah antarabangsa seperti National Geographic, TIMES dan Newsweek turut memaparkan krisis air yang berlaku diserata dunia terutama sekali negara – negara di wilayah Afrika. Krisis air global tidak sahaja memberi kesan terhadap negara – negara mundur malahan juga telah menjangkiti negara – negara besar seperti Amerika Syarikat dan Eropah.